fb fb fb fb fb

Ekonomi ASEAN catat pertumbuhan lebih baik

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 14 Julai - Ekonomi Asean mempamerkan pertumbuhan lebih baik berbanding jangkaan pada separuh pertama 2025, di sebalik kejutan tarif dan konflik geopolitik.

Menurut Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB),
tarif balas Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi memberi kesan terhad kepada pertumbuhan setakat ini, susulan ketegangan perang tarif AS-China yang kembali mereda.

''Aktiviti penghantaran barangan lebih awal yang berlaku dalam tempoh penangguhan tarif 90 hari, serta pelonggaran dasar monetari, turut membantu.

Negara berorientasikan eksport seperti Vietnam, Malaysia dan Thailand misalnya, meraih manfaat daripada aktiviti penghantaran barangan ke AS yang telah dipercepat, walaupun ada sedikit kesannya dalam separuh kedua,'' jelas Maybank IB dalam nota penyelidikannya hari ini.

Tambah bank pelaburan itu, ekonomi Asean-6 diunjur mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.4 peratus pada tahun 2025 dan 2026, menyederhana berbanding 4.9 peratus tahun lalu.

Maybank IB turut menyemak naik ramalan pertumbuhan tahun ini bagi Singapura kepada 2.4 peratus dan Vietnam sebanyak 7.3 peratus.

ASEAN-6 merujuk kepada enam ekonomi terbesar blok itu, merangkumi Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN