GUA MUSANG, 23 Januari- Tujuh buah premis makanan di daerah Gua Musang diarah ditutup selama 14 hari selepas didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, kesemua premis itu ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983 menerusi Operasi Bersepadu Premis Bersih Siri 1/2025 di daerah itu yang dijalankan semalam.
Menurut beliau, sebanyak 55 buah premis makanan di sekitar Bandar Lama, Bandar Baru, Bandar Utama, Bandar FELDA Chiku Tiga dan kawasan KESEDAR Paloh Satu dan Paloh Dua diperiksa sepanjang operasi tersebut.
Katanya menerusi kenyataan hari ini, selain itu, sebanyak 63 notis tawaran kompaun telah dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Datuk Dr Zaini berkata, daripada jumlah tersebut, antara kesalahan tertinggi dicatatkan dalam operasi itu adalah mengikut Peraturan 32(1), iaitu tidak mematuhi kehendak berhubung dengan pakaian pengendali makanan dengan sebanyak 38 notis kompaun dikeluarkan.
Katanya, kesemua notis kompaun yang ditawarkan berjumlah RM17,200.00
Beliau berkata, JKNK turut menasihatkan orang ramai khususnya yang mengunjungi premis makanan di daerah Gua Musang dan juga di seluruh Kelantan supaya memilih premis makanan yang bersih ketika makan di luar.