LABUAN, 15 Februari- Tujuh Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) berjaya ditahan Jabatan Imigresen Labuan dalam satu operasi yang dilakukan di sekitar Labuan, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Labuan, Raymond Entalai berkata menerusi operasi dilakukan bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.15 malam itu, 38 individu telah diperiksa dalam operasi berkenaan melibatkan warganegara Malaysia dan warga asing.
Katanya, tujuh daripada individu berkenaan melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan ditahan di Depot Imigresen Labuan.
"Lokasi serbuan yang dijalankan melibatkan di rumah kediaman, premis dan pusat hiburan.
"Tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan orang awam berhubung PATI yang disyaki tinggal, bekerja dan berada di negara ini tanpa memiliki pas dan dokumen pengenalan diri yang sah dan telah tamat tempoh," katanya menerusi kenyataan.
Tegas Raymond, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warga asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.
Pihaknya juga akan mengambil tindakan pendakwaan terhadap majikan serta pemilik premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah di bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).