BAGAN DATUK, 1 Disember - Tujuh lokasi terjejas banjir di seluruh negara dikenal pasti untuk dinilai bagi pembinaan jambatan Bailey.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan itu termasuk di Jalan Gua Musang-Jeli di Kilomter 35 berdekatan Kampung Jerek.
Katanya, pembinaan itu bagaimanapun akan melalui kajian dan kesesuaian tanah terlebih dahulu.
"Dalam tempoh 48 jam kita akan terus atur gerak dengan aset ke kawasan terjejas. Ini pernah saya lakukan apabila hubungan di antara Segamat dan Rompin terputus jambatan itu dibina dalam tempoh 72 jam.
"Dan kita mempunyai simulasi sebelum ini untuk pembinaannya dengan kerjasama jurutera angkatan tentera dan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR)," kata Ahmad Zahid.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata demikian selepas menghadiri Program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak, di sini.
Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000 hanya akan diberikan kepada mereka yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat ini sebanyak RM4.3 juta telah diagihkan kepada 43,000 Ketua Isi Keluarga (KIR).
Sementara itu, trak milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melibatkan tujuh tan, lima tan, tiga tan diatur gerak bagi membawa calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Ahmad Zahid berkata penyediaan kemudahan itu bagi memudahkan pergerakan pelajar ke pusat peperiksaan dan asrama.
"Mulai esok ada peperiksaan SPM akan bermula. Saya telah meminta supaya kenderaan berat diatur gerak bagi membawa calon-calon peperiksaan SPM. Saya mengambil keputusan ini kerana Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah meminta supaya mereka diangkut dengan trak atau lori ATM," katanya.