fb fb fb fb fb

Tujuh GLC Pahang catat keuntungan, dua lagi rugi- MB Pahang

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail / Foto BERNAMA

KUANTAN, 22 April – Tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pahang mencatatkan nilai keuntungan berdasarkan prestasi kewangan beraudit pada tahun 2023, manakala dua lagi syarikat induk merekodkan kerugian.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menegaskan bahawa pihaknya akan sentiasa memantau prestasi dan hala tuju GLC bagi memastikan syarikat-syarikat tersebut terus menjadi penyumbang utama kepada hasil dan pembangunan ekonomi negeri.

“Tujuh syarikat kumpulan mencatatkan keuntungan, iaitu Kumpulan Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), Kumpulan Yayasan Pahang, Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang, Kumpulan Pahang Corporation atau Pahang Corp, Kumpulan Perbadanan Setiausaha Kerajaan, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands, dan Perbadanan Taman Negeri,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Cheka) pada sesi pertanyaan lisan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini.

Jelas beliau, dua GLC yang menanggung kerugian ialah Kumpulan Amanah Saham Pahang Berhad yang mengalami kerugian akibat prestasi lemah anak syarikat utamanya, Mentiga Corporation Berhad, dan Pengurusan Pasir Pahang Berhad yang mengalami kerugian disebabkan pembekuan Lesen Eksport (AP) oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

“Bagi syarikat yang merekodkan kerugian seperti Mentiga Corporation, kita telah meminta supaya syarikat berkenaan menyediakan pelan pemulihan dalam unjuran lima tahun untuk mereka bentuk semula dan merancang pemulihan perniagaan.

Manakala bagi Pengurusan Pasir Pahang Berhad, rayuan untuk mendapatkan lesen akan terus dimajukan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD