fb fb fb fb fb

Kerajaan lulus RM1 bilion tingkat produktiviti padi di Kedah – PM

Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion sebagai insentif untuk melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di negeri Kedah / Foto Hiasan / Bernama

PUTRAJAYA, 22 April – Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 bilion sebagai insentif untuk melaksanakan program merancakkan produktiviti pengeluaran padi di negeri Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan itu telah pun disalurkan secara berperingkat kepada pihak berkaitan, termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

“Peruntukan RM1 bilion itu telah pun diluluskan dan disalurkan secara berterusan untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi di Kedah,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Sambutan Aidilfitri 2025 anjuran Kementerian Kesihatan (KKM), di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menuntut bayaran khas tahunan sebanyak RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan sebagai pampasan kepada negeri itu atas pengorbanan mengekalkan kawasan jelapang padi demi menjamin bekalan beras negara.

Untuk rekod, Perdana Menteri sebelum ini telah meluluskan dana RM1 bilion pada Februari lalu bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan yang dikendalikan oleh MADA.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN