fb fb fb fb fb

Tujuh garis panduan berkaitan perlindungan data peribadi

Gobind Singh Deo

PUTRAJAYA, 16 Januari- Garis Panduan Notifikasi Ketirisan Data Peribadi dan Garis Panduan Pegawai Perlindungan Data adalah antara tujuh garis perkara yang akan dibangunkan bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (Akta 709) bagi menetapkan keperluan minimum agar selaras dengan dasar dan amalan perlindungan data peribadi.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, garis panduan lebih komprehensif dibangunkan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) melalui Pesuruhjaya Perlindungan Data Peribadi (PDP) dengan kerjasama Futurise Sdn Bhd selari dengan perkembangan teknologi terkini.

"Satu daripada perkara yang telah pun diketengahkan oleh jabatan iaitu berkenaan cara untuk pastikan pelbagai organisasi dalam kementerian boleh mengukuhkan usaha untuk pastikan supaya tidak berlakunya ketirisan data dan sebagainya.

"Itu juga sebahagian daripada garis panduan yang akan diperhatikan tetapi semasa kita berusaha untuk pastikan akan memberi penumpuan kepada semua perkara ini," katanya ketika berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara PDP bersama Futurise Sdn Bhd di sini.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah JPDP merangkap Pesuruhjaya PDP Profesor Dr Mohd Nazri Kama dan Ketua Pegawai Eksekutif Futurise Rosihan Zain Baharudin dengan disaksikan oleh Gobind serta Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Rodzi Md Saad.

Gobind berkata Futurise dilihat memiliki keupayaan serta kemahiran dalam membantu Pesuruhjaya PDP menghasilkan standard dan garis panduan komprehensif selain menambah baik Standard Perlindungan Data Peribadi yang telah dibangunkan pada 2015.

Kewujudan amalan pegawai perlindungan data dan notifikasi ketirisan data peribadi merupakan antara praktis yang diterima di peringkat antarabangsa iaitu pegawai tersebut bertanggungjawab memastikan pengguna mematuhi undang-undang perlindungan data peribadi serta melaksanakan pengauditan dalaman.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI