fb fb fb fb fb

Tujuh bangunan SMK Munshi Abdullah rosak akibat ribut

Foto FB Rahmat Bin Mariman

BATU BERENDAM, 28 Oktober- Tujuh blok bangunan kelas dan pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah di Melaka rosak akibat kejadian ribut petang tadi.

Pengetuanya, Ramli Abdullah berkata kejadian itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Ramli berkata satu blok yang menempatkan pejabat pentadbiran, dua bilik guru dan lapan kelas yang telah disiapkan untuk peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Isnin ini mengalami kerosakan lebih 80 peratus.

"Percubaan SPM bermula Isnin, jadi kita akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mungkin masih boleh digunakan di bangunan yang tidak rosak dan kita akan berbincang sama ada keadaan selamat.

"Kita akan teruskan dan mungkin sebahagian pelajar direhat sementara. Itu terpulang kepada jabatan, kita akan berbincang, saya tidak boleh mengeluarkan arahan setelah berbincang dengan pihak jabatan nanti," katanya kepada pemberita di sini.

Ketika kejadian difahamkan terdapat kira-kira 10 guru dan pelajar berada di kawasan sekolah.

Namun kesemua mereka sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka memaklumkan, pihak bomba menerima panggilan berkaitan kejadian kira-kira pukul 4.00 petang sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh digerak ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba telah memastikan tiada sebarang risiko berbahaya di kawasan berkenaan sebelum operasi ditamatkan pada pukul 6.47 petang tadi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM