fb fb fb fb fb

JPN terima 1,116 permohonan dokumen masyarakat Orang Asli di Kelantan

Foto hiasan

GUA MUSANG, 28 Oktober- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menerima sebanyak 1,116 permohonan dokumen seperti kad pengenalan dan daftar lewat kelahiran daripada masyarakat Orang Asli menerusi program turun padang ke kawasan pedalaman di negeri Kelantan tahun ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Pengurusan) Faizah Jaarudin berkata, jumlah tersebut merangkumi 206 permohonan kad pengenalan, 143 permohonan daftar lewat kelahiran serta 767 khidmat nasihat.

Menurutnya, JPN komited menjalankan program turun padang dan begitu prihatin dengan masalah yang dihadapi oleh masyarakat Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Walaupun ada pelbagai halangan dan rintangan terpaksa dilalui oleh pihak JPN disebabkan struktur geografi serta akses ke perkampungan orang asli ini yang kurang elok laluan, juga ada mengambil masa 10 jam perjalanan, tetapi ia tidak menjadi halangan kepada kami pihak JPN untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua masyarakat orang Asli dan serta rakan strategik kami yang hadir memberikan kerjasama penuh", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Menyemai Kasih Rakyat (Mekar) Siri Jelajah ke 75 buah perkampungan Orang Asli bersempena sambutan Jubli Intan 75 tahun Jabatan Pendaftaran Negara, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan hari ini.

Tambah Faizah, JPN sentiasa komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti agar pengurusan identiti penduduk Malaysia akan terus dilindungi dan diurus dengan penuh integriti, cekap dan efisien.

ROSLINA BINTI DIN