fb fb fb fb fb

KPKT anjur Anugerah Toilet of The Year iktiraf tandas terbersih pada Isnin ini

Menteri KPKT, Nga Kor Ming dalam temu bual khas bersama Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri pagi tadi.

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Buat julung kalinya, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) menganjurkan Anugerah Toilet of The Year Award 2023 (TOTYA) untuk mengiktiraf tandas yang Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) pada Isnin ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata sempena anugerah itu KPKT telah menerima sebanyak 345 penyertaan dari seluruh negara.

Katanya, menjelang anugerah itu sebanyak lima kategori dipertandingkan melibatkan tandas milik premis hotel, kompleks beli-belah, stesen minyak, hentian rehat dan rawat (RNR) dan restoran.

"Sebagai langkah permulaan kita buka kepada 5 kategori anugerah bermula pada tahun ini dan akan dianjurkan setiap tahun.

"Kebersihan tandas salah satu komponen utama dalam imej negara khususnya dari segi pembangunan industri pelancongan. Kebersihan tandas awam bukan di pihak kerajaan sahaja tetapi ia juga merupakan tanggungjawab bersama dari pihak swasta.

"Secara amnya kebersihan tandas antara faktor utama untuk kita membangunkan imej negara serta masyarakat MADANI yang bertamadun," katanya dalam satu temu bual khas bersama Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri pagi tadi.

Nga juga berhasrat untuk menjadikan anugerah TOTYA sebagai acara tahunan mulai tahun hadapan dan menerima lebih banyak penyertaan dari pihak swasta selain menjadikan ia sebagai satu anugerah yang berprestij.

"Tahun depan KPKT akan memperluaskan skop kepada semua tandas awam di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Maka Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Majlis Bandaraya perlu mencalonkan tandas mereka untuk menang.

"Selepas ini kita akan memperluaskan skopnya kepada sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan," katanya.

Tambahnya, pemilihan pemenang berdasarkan pencapaian markah yang diperolehi mengikut kriteria Audit Penarafan Bintang (Star Rating), Kebersihan Tandas Awam "BMW" KPKT, serta faktor-faktor keistimewaan tandas yang dipertandingkan.

"Penjurian telah dijalankan oleh sembilan orang juri untuk menilai pencapaian markah bagi setiap penyertaan.

"Lawatan audit ke lapangan juga telah dilaksanakan oleh juri-juri tersebut terhadap finalis-finalis mengikut kategori yang terpilih dan pemenang ditentukan oleh Jawatankuasa Pemilih," katanya.

Pemenang bagi setiap kategori akan menerima hadiah berupa wang tunai RM10,000 beserta piala dan sijil.

Majlis Anugerah Toilet of The Year Award 2023 akan diadakan pada 30 Oktober ini di Kelab Golf Perkhidmatan Awam Bukit Kiara, Kuala Lumpur, 8 malam.

Dalam pada itu, Nga memberi amaran kepada mana-mana premis makanan dan minuman (F&B) sekiranya tandas premis mereka didapati kotor maka lesen perniagaan tidak akan diperbaharui.

GRACE AISYAH KEDAYAN