fb fb fb fb fb

Tujuh bangunan ikonik negara berwajah baharu menjelang TMM 2026

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-16 Mengenai Bandar Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2025 / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 September- Tujuh bangunan ikonik negara bakal diberi nafas dan wajah baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu melibatkan peruntukan sebanyak RM700 juta tahun ini sebagai usaha menjadikan warisan budaya dan sejarah teras penting dalam pembangunan negara.

“Antara ikon tersebut termasuk Carcosa Seri Negara, Muzium Tekstil, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur Lama.

Kesemua tujuh ikon ini akan diberi wajah dan nafas baharu menjelang TMM 2026,” katanya.

Nga berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-16 Mengenai Bandar Lestari Bertaraf Dunia (WCSC) 2025 di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, warisan budaya dan identiti bangsa tidak pernah dilupakan.

Sebaliknya, ia terus diabadikan dalam nilai MADANI berteraskan kebudayaan walaupun Malaysia sedang menuju status negara maju.

Pada masa sama, kerajaan turut menitikberatkan peranan jenama tempatan, khususnya sektor makanan dan minuman (F&B), sebagai medium mempromosikan identiti Malaysia di pentas antarabangsa.

“Bangunan Sultan Abdul Samad, misalnya, akan menempatkan pelbagai jenama tempatan.

Usaha kerajaan bukan sekadar ‘Made in Malaysia’ tetapi diperkasakan lagi kepada ‘Made by Malaysia’,” jelasnya.

Menurut beliau, langkah itu bukan sahaja memperkukuh jenama tempatan, malah berpotensi meletakkannya setanding dengan jenama antarabangsa.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN