KUALA LUMPUR, 30 September - Malaysia terus mencatat prestasi ekonomi kukuh walaupun berdepan cabaran global.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang 4.4 peratus pada separuh pertama 2025.
Beliau turut memaklumkan nilai perdagangan negara mencecah RM1.46 trilion dengan lebihan akaun semasa sebanyak RM17 bilion.
Inflasi pada Ogos pula mereda kepada 1.3 peratus berbanding 1.9 peratus pada tahun lalu, manakala kadar pengangguran menurun kepada 3.0 peratus, menunjukkan pasaran buruh semakin kukuh.
“Pendapatan isi rumah juga meningkat dengan purata pendapatan bulanan naik kepada RM9,155 pada 2024 berbanding RM7,901 pada 2019, manakala kadar kemiskinan mutlak menurun kepada 5.8 peratus daripada 8.4 peratus pada 2020,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Ekonomi dan Kewangan Awam (MEKA) 2025 di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Bukit Kiara, hari ini.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan penjawat awam sebagai mekanisme utama kerajaan perlu memahami objektif, semangat, keutamaan serta strategi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi memberi manfaat secara menyeluruh kepada rakyat.
MEKA 2025 yang berlangsung selama dua hari menghimpunkan lebih 700 peserta daripada perkhidmatan awam, akademia, industri dan masyarakat sivil untuk membincangkan keutamaan serta strategi RMK13 menerusi lima forum.