(Keadaan Tugu Peringatan Negara selepas dibom pengganas komunis)
KUALA LUMPUR, 9 September- Tugu Peringatan Negara atau lebih dikenali sebagai Tugu Negara bukan sekadar monumen, namun keutuhan binaan setinggi 15 meter itu punya kisah yang tersendiri.
Monumen itu dibina sebagai tanda penghormatan kepada lebih 11,000 perajurit negara yang gugur dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia ke-2 dan semasa peristiwa darurat.
Kewujudan tujuh patung gangsa yang gah di Taman Tasik Perdana bukan sekadar tempat tumpuan pelancong tetapi ada cerita tersendiri yang tidak ramai ketahui.
Pada 1975, pengganas komunis yang tidak berpuas hati dengan pembinaan Tugu Negara telah bertindak ganas meletupkan monumen sejarah berkenaan yang siap dibina pada 8 Februari 1966.
Menurut Profesor Madya Dr. Mohd Shamsudin, Pensyarah Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa UKM, "satu perkara yang berlaku pada ketika itu memperlihatkan kegiatan mengancam keselamatan dilakukan.
"Jadi beberapa monumen patung tugu itu telah jatuh dan menyebabkan banyak kerosakan pada tugu itu dan ianya telah ditutup kepada orang ramai pada ketika itu." Jelasnya.
(Tugu Peringatan Negara)
Pada 1977, pembinaan semula patung perajurit negara yang rosak dilakukan dengan peruntukkan RM2.5 juta.
Beliau turut bercerita, "berikutan daripada pengeboman itu, pada September 1975, Tun Abdul Razak telah meminta bantuan kewangan bagi menampung pembiayaan bagi membaiki Tugu Negara.
"Pada ketika itu, rakyat telah bekerjasama mengumpulkan derma dalam satu tabung untuk membaiki Tugu Negara." Ujar beliau ketika ditemui pemberita.
Menurut Md Zubir Abdul Latif, "ketika kejadian pengeboman tugu negara sekitar tahun 70-an, saya masih bersekolah rendah."
Insiden itu telah meninggalkan pelbagai sejarah tersendiri mmberi pengajaran bermakna kepada generasi muda.
Bagi Alizah Mat Judin, "rakyat Malaysia masa itu bersatu hati mengumpul dana untuk nak bina semula Tugu Negara sampai terbinanya seperti yang kita lihat pada hari ini."
Jadi jelaslah monumen bersejarah itu menjadi tanda penyatuan masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.