fb fb fb fb fb

Tugasan kritikal jika tiada pengganti lain, tidak wajib Solat Jumaat - Mufti Perlis

(FOTO HIASAN)

KANGAR, 11 Ogos- Berikutan pelbagai pertanyaan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat khususnya bagi mereka yang berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan, Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memperjelaskan mengenai Fatwa Negeri Perlis berkaitan Hukum Meninggalkan Solat Jumaat disebabkan tugasan kritikal.

Penjelasan ini penting supaya mereka yang terlibat dapat memahami dan menjadi rujukan ketika melaksanakan tugasan khususnya pada waktu Solat Jumaat.

Ini berdasarkan keputusan yang diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-50 pada 14 Disember 2020 lalu yang diperakukan dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis Bil. 1/2021 pada 26 Januari 2021.

Menurut Datuk Dr Mohd Asri, tugasan kritikal seperti pengawal keselamatan, petugas kesihatan, petugas trafik udara dan darat, anggota tentera, polis, bomba dan penyelamat dan seumpamanya termasuk dalam keuzuran meninggalkan Jumaat.

Ini disebabkan mereka terpaksa bertugas pada waktu solat Jumaat dan tiada pengganti lain yang tidak diwajibkan mengerjakan solat seperti orang bukan muslim, wanita atau orang yang bermusafir.

"Kita akan hantar fatwa ini dan beri kepada setiap agensi dalam bentuk berbingkai yang boleh mereka gantung di jabatan masing-masing untuk mengingatkan mengenai peruntukan ini ada.

"Kita mahu ingatkan bahawa dalam keadaan kritikal juga boleh sembahyang Zohor bagi yang terbabit, jadi ini adalah tujuannya mungkin sebahagian orang dah tahu tentang ini, tapi bila nak buat dia tidak berani, orang tuduh dia tak sembahyang Jumaat, tetapi bila dia ada keuzuran atau ada alasan ini maka dia tahu bahawa fatwa yang dikeluarkan demikian," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Penjelasan dan Penyerahan Fatwa Negeri Perlis : Hukum Meninggalkan Solat Jumaat Disebabkan Tugasan di Jabatan Mufti Negeri Perlis.

Program dihadiri petugas barisan hadapan termasuklah Hospital Tuanku Fauziah, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Imigresen Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia.


(Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan salinan fatwa berbingkai kepada wakil agensi)

Media Baharu