fb fb fb fb fb

Malaysia-Jepun perlu teroka bidang kerjasama baharu membabitkan inisiatif ESG menerusi DPT - PM

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Malaysia dan Jepun perlu menerokai bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) melalui projek dan program yang dilaksanakan bawah Dasar Pandang ke Timur (DPT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan ini termasuk mempelbagaikan kerjasama dalam bidang krisis bencana, masyarakat menua, ekonomi digital, Sains, Teknologi dan Inovasi serta pertumbuhan hijau.

"Menurut Laporan Risiko Global Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2022, isu-isu seperti perubahan iklim, kesan sosial populasi yang semakin menua dan polarisasi sosial selepas pandemik COVID-19 dijangka memberi kesan serius terhadap ekonomi dan mata pencarian kebanyakan negara dunia dalam tempoh 10 tahun akan datang.

"Sehubungan itu, saya menggesa agar bidang-bidang kerjasama baharu berkaitan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dapat diterokai oleh kedua-dua negara melalui projek dan program yang dilaksanakan bawah DPT," katanya.

Datuk Seri Azmin Ali membacakan teks ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Majlis Pembukaan Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur di ibu negara.

Tambahnya, Malaysia berharap kerajaan Jepun akan memberikan sokongan padu yang berterusan bagi menggalakkan lebih banyak kerjasama dalam bidang berkenaan melalui pelaksanaan projek-projek usaha sama bawah DPT.


(Datuk Seri Azmin Ali membacakan teks ucapan Perdana Menteri pada Majlis Pembukaan
Seminar Perniagaan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur)

Media Baharu