fb fb fb fb fb

Orang Asli suku Negrito tidak ketinggalan dari segi pendidikan - KPLB

(FOTO HIASAN)

KUALA LUMPUR, 11 Ogos- Seramai 464 pelajar Orang Asli dari suku Kaum Negrito sedang menjalani sesi pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Manakala, 256 lagi di peringkat sekolah menengah bagi sesi persekolahan 2022.

Jelas Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pihaknya menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA terus mempergiat usaha bagi memastikan kelompok itu tidak tercicir daripada arus pendidikan perdana.

"Kementerian Pembangunan Luar Bandar melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA bersama Kementerian Pendidikan Malaysia KPM dan Kementerian Pengajian Tinggi KPT telah berjaya menjalinkan pelbagai usaha yang menyeluruh serta kerjasama strategik secara berkala.

"Bagi sesi persekolahan tahun 2022, merujuk kepada pelajar Orang Asli dari suku kaum Negrito, berdasarkan data Aplikasi Pangkalan Data Maklumat, sehingga Mei 2022, seramai 464 orang pelajar di peringkat sekolah rendah manakala seramai 256 orang pelajar di peringkat sekolah menengah," katanya.

Bagi sesi pendidikan 2021, seramai 26 pelajar murid Orang Asli suku Kaum Negrito menduduki peperiksaan Sijil Pendidikan Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 11 layak mendapat sijil dan 9 pelajar dari Kelantan dan Pahang berjaya ditempatkan di Kolej Komuniti bagi menjalani program Sijil Pendidikan dan Pakaian, Sijil Pembuatan Kasut dan Kraf Kulit serta Sijil Servis Kenderaan Ringan.

Penyataan bagi menjawab soalan Senator Datuk Ajis Sitin.


(Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad)

Media Baharu