MELAKA, 27 September – Tuduhan bahawa Kerajaan MADANI menentang Islam adalah tidak berasas, sebaliknya ia merupakan helah politik pihak lawan yang memperalatkan isu agama demi kepentingan tertentu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menegaskan kerajaan sentiasa komited memperkukuh pendidikan Islam dan pembangunan insan, termasuk menambah peruntukan kepada institusi berkaitan.
“Kami mahu supaya langkah-langkah membaiki akhlak diperkukuh. Itu saya terima. Tetapi janganlah kata kita membawa kerosakan atau menentang Islam. Di mana yang kita menentang Islam? Peruntukan Islam ditambah, maahad tahfiz dibela, anak-anak huffaz diberi peluang ke TVET dan diberikan latihan tambahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan ulang tahun ke-27 Reformasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini, hari ini.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menyelar tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang menggunakan agama sebagai topeng untuk menyerang kerajaan dengan kata-kata kesat serta tuduhan liar.
Selain itu, Datuk Seri Anwar menegaskan kerajaan akan terus memperkukuh perpaduan nasional dengan menolak politik kebencian berasaskan kaum, serta memastikan pembangunan seimbang di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.