KUALA LUMPUR, 27 September – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menjalankan siasatan segera berhubung kejadian melibatkan seorang murid berusia sembilan tahun yang meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam lubang pembentungan di sebuah sekolah di Lenggeng, Nilai.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata KPM menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan menegaskan bahawa aspek keselamatan fasiliti sekolah perlu sentiasa dipastikan berada pada tahap terbaik.
“Kejadian ini sangat mendukacitakan. JPNS telah diarah untuk menyiasat segera kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Azam turut menegaskan, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Beliau berkata, KPM memberi perhatian serius terhadap keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga institusi pendidikan.
Terdahulu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad memaklumkan, Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai menerima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11 pagi.
Mangsa, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun, dilaporkan terjatuh ke dalam lubang kumbahan di kawasan sekolah berkenaan sebelum disahkan meninggal dunia.