KUANTAN, 22 Ogos- Satu lembaga siasatan telah ditubuhkan bagi mengenal pasti punca nahas sebuah pesawat milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dilaporkan terhempas sebaik sahaja berlepas dari landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang, malam tadi.
Menurut Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh mengikut prosedur keselamatan operasi penerbangan TUDM.
“Pesawat itu musnah sepenuhnya dan satu Lembaga Siasatan akan ditubuhkan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan yang berlaku.
Pasukan siasatan akan memulakan tugasan hari ini dan akan mengemukakan laporan awal secepat mungkin bagi menentukan hala tuju seterusnya pengoperasian pesawat A18 berkenaan," kata Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan dalam sidang media, hari ini.
Tambahnya, insiden kemalangan melibatkan pesawat pejuang jenis F/A-18D Hornet, ketika sedang berlepas untuk melaksanakan latihan penerbangan rutin.
Bagaimanapun, anak kapal yang terlibat telah berjaya melakukan prosedur kecemasan dengan selamat iaitu mengaktifkan kerusi lenting, supaya juruterbang melenting keluar dari pesawat.
Juruterbang TUDM, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34 tahun serta jurusensor senjata TUDM, Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28 tahun berada dalam keadaan baik dan tidak mengalami kecederaan serius.
Mereka telah diberikan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan dan telah dibenarkan keluar, awal pagi tadi.
Terdahulu, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan telah turun ke lokasi kejadian pagi tadi bagi mendapatkan gambaran menyeluruh berhubung insiden berkenaan.
Beliau turut berkesempatan melawat dua pegawai TUDM yang terbabit nahas bagi menzahirkan sokongan moral kepada mereka.
Tegasnya, pihak TUDM akan terus memastikan setiap aspek keselamatan penerbangan diberi keutamaan dan mengambil langkah sewajarnya agar insiden seumpama itu dapat dielakkan pada masa akan datang.