KUALA LUMPUR, 22 Ogos - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneruskan langkah proaktif memperkukuh keselamatan siber negara menerusi penganjuran 'PDRM Special Dialogue (PSD)' siri ketiga, yang bakal berlangsung pada 26 Ogos 2025 (Selasa) di Sime Darby Convention Centre.
Program anjuran bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM itu memberi tumpuan kepada isu jenayah siber yang kian mencabar, sekali gus mempamerkan keterbukaan pasukan keselamatan dalam memahami isu secara rentas sektor, memupuk kerjasama kolektif dan menggalakkan perkongsian ilmu.
Timbalan Pengarah (Siasatan Jenayah Siber) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, DCP Shamsul Amar Ramli berkata, penganjuran PSD kali ini membawa kelainan berbanding dua siri terdahulu, termasuk pengisian lebih meluas dengan enam subprogram utama.
"Untuk kali ketiga ini kita akan adakan enam subprogram dalam tempoh satu hari PSD. Dari segi penyertaan rakan strategik pun sangat berbeza, untuk tahun ini kita menerima hampir 25 penyertaan booth pameran berbanding tahun sebelumnya.
"Kehadiran juga melibatkan warga PDRM, kakitangan kerajaan serta polis antarabangsa daripada negara luar", katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri, Kota Media.
Beliau turut memalumkan, antara pengisian utama termasuk perbincangan panel mengenai landskap jenayah siber di Malaysia, sesi meja bulat mengenai perundangan siber, latihan khas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi warga PDRM, serta libat urus bersama National Scam Response Center (NSRC) mengenai usaha menangani penipuan dalam talian.
Selain itu, seramai 10 pelajar IPTA turut dijemput membentangkan artikel berkaitan daya tahan siber, manakala acara kemuncak bakal menyaksikan Forum Menteri yang akan menampilkan Menteri Dalam Negeri dan Menteri Komunikasi di atas satu pentas.