fb fb fb fb fb

Tuanku Syed Faizuddin galas tanggungjawab pemangku Raja Perlis

ARAU, 2 April - Berkuatkuasa mulai hari ini sehingga 27 Mei 2023, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menggalas tanggungjawab secara sementara sebagai Pemangku Raja Perlis.

Ini berikutan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menjalani pembedahan membaik pulih kaki dan buku lali sebelah kanan di Hospital Putrajaya, semalam.

Susulan pembedahan tersebut doktor pakar akan terus mengawasi tahap kesihatan dan pemulihan Tuanku Syed Sirajuddin untuk tempoh dua bulan ini.

(Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail / FOTO FAIL)

Istana Arau dalam satu kenyataan memaklumkan, sebarang program, majlis, acara dan urusan rasmi, Raja Muda akan mengguna pakai gelaran Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

"Juga sebarang acara rasmi yang melibatkan Pemangku Raja Perlis, perlu menggunakan Lagu Negeri iaitu Amin Amin, bendera rasmi Pemangku Raja dan kapasiti penuh seperti kelaziman Tuanku Raja Perlis," kata kenyataan tersebut.

Kenyataan turut memohon rakyat di negeri Perlis untuk terus mendoakan kesembuhan buat Tuanku Raja Perlis agar terus berkekalan di bawah ri'ayah yakni pemeliharaan dan jagaan Allah SWT.

Pada masa yang sama, Tuanku Pemangku Raja Perlis bertitah mendoakan agar negeri dan rakyat Perlis yang tercinta akan sentiasa terpelihara daripada segala mara bahaya dan dikurniakan kemakmuran berpanjangan.

Media Baharu