KUALA LUMPUR, 25 Oktober – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 26 hingga 27 Oktober ini sempena Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-13 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-20, di sini.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan ini merupakan lawatan sulung Trump ke Asia Tenggara sejak beliau memegang jawatan Presiden pada Januari 2025 dan ia atas jemputan Perdana Menteri dan Pengerusi ASEAN 2025, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Trump akan diiringi oleh pegawai kanan kerajaan Amerika Syarikat serta delegasi peringkat tinggi," menurut kenyataan itu.
Sidang kemuncak tersebut menghimpunkan pemimpin ASEAN bersama rakan luar utama bagi memperkukuh kerjasama serantau, keterangkuman dan kelestarian.
Trump akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya pada 26 Oktober, diikuti mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri.
"Kedua-dua pemimpin dijangka menilai semula hubungan dua hala Malaysia–AS serta membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, sains dan teknologi, tenaga boleh diperbaharui, industri halal, pertanian, kesihatan dan pendidikan," tambah kenyataan itu.
Mereka juga dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, termasuk kerjasama dalam kerangka ASEAN dan peranan AS di rantau Asia Tenggara.
Perbincangan dijangka membuka peluang kerjasama baharu, di samping menegaskan komitmen terhadap kestabilan serantau serta pembangunan ekonomi bersama.
Presiden Trump dan Perdana Menteri dijangka menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perdagangan dan keselamatan.
AS kekal sebagai salah satu rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia, dengan nilai dagangan pada 2024 berjumlah RM324.91 bilion (USD71.39 bilion).
Lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan kukuh dan strategik antara Malaysia dan AS berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama serta aspirasi memperkukuh kerjasama dua hala.