fb fb fb fb fb

ASEAN perlu fokus laksana Visi 2045 secara kolektif

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Negara anggota ASEAN kini perlu menumpukan perhatian secara kolektif terhadap pelaksanaan Visi ASEAN 2045: Masa Depan Bersama.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan visi tersebut, yang disokong oleh empat pelan strategik menyediakan rangka kerja menyeluruh bagi memandu transformasi rantau ini dalam tempoh dua dekad akan datang.

"Perkara ini tidak akan tercapai tanpa usaha gigih Pasukan Petugas Peringkat Tinggi dan dedikasi semua pegawai meliputi tiga tonggak utama, serta Jawatankuasa Penyelarasan Kesalinghubungan ASEAN. Kami menghargai usaha mereka.

"Melangkah ke hadapan, kita kini perlu menumpukan perhatian terhadap pelaksanaan, sambil kita memperkukuh komuniti ASEAN yang berpusatkan masyarakat, inklusif, mampan dan berdaya tahan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN ke-37 sempena sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara.

Dalam pada itu, Datuk Seri Mohamad turut menzahirkan penghargaan terhadap kemasukan Timor-Leste sebagai negara ke-11 dalam ASEAN merupakan satu pencapaian bersejarah bagi komuniti ASEAN dan kemuncak kepada usaha kolektif serantau selama bertahun-tahun.

Beliau berkata, Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC), Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Majlis Komuniti Sosio Budaya ASEAN (ASCC) memainkan peranan penting dalam merangka Pelan Tindakan Komprehensif untuk keanggotaan Timor Leste.

Pada masa sama, katanya, ia juga hasil komitmen Timor-Leste dan kemajuan berterusannya melalui penyertaan secara aktif merentasi tiga tonggak, penyertaan dalam instrumen undang-undang ASEAN dan penyelarasan sistem nasionalnya dengan proses ASEAN.

ACC merupakan sebahagian daripada beberapa mesyuarat yang diadakan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula esok hingga 28 Oktober.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN