fb fb fb fb fb

Penduduk terjejas banjir dinasihat utamakan keselamatan, patuhi arahan pihak berkuasa - TPM Zahid

Foto arkib/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru orang ramai yang terjejas akibat bencana banjir di Kedah, Perak dan Pulau Pinang agar sentiasa mengutamakan keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook turut menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya tidak berada di lokasi berbahaya dan segera berpindah sekiranya diarahkan pihak berkuasa demi keselamatan bersama.

Beliau berkata, pasukan penyelamat dan agensi kerajaan sedang digerakkan sepenuhnya bagi menyalurkan bantuan serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan terjejas.

"Terima kasih saya ucapkan kepada semua petugas yang bertugas tanpa mengenal penat lelah. Doa saya sentiasa mengiringi semua penduduk yang terlibat. Semoga anda semua dikurniakan kekuatan, ketabahan dan perlindungan daripada Allah SWT dalam menghadapi ujian ini.

"Bersama-sama kita mendoakan semoga keadaan ini segera beransur pulih dan segala urusan penyelamatan serta bantuan dapat dilaksanakan dengan lancar. Insya-Allah. Doa kami sentiasa bersama anda semua," katanya.

Terdahulu media melaporkan, jumlah penduduk terjejas banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri terbabit terus meningkat kepada 5,806 orang pagi tadi, berbanding 4,743 orang malam tadi.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN