fb fb fb fb fb

Penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN satu pencapaian bersejarah - Freitas

Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito Dos Santos Freitas selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-37 di Kuala Lumpur/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Oktober - Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Timor-Leste, Bendito Dos Santos Freitas, menyifatkan penyertaan negaranya sebagai negara anggota ke-11 ASEAN sebagai satu pencapaian bersejarah.

Beliau menzahirkan penghargaan negara terlibat dalam melancarkan proses penyertaan Timor-Leste sebagai anggota penuh ASEAN.

"Kami akhirnya akan menyertai dan esok adalah Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47. Kami sangat menghargai sokongan daripada Malaysia serta negara anggota yang lain. Ini amat penting bagi kami menyertai sidang kemuncak ini supaya kami akan menjadi lebih kuat bersama dan bangkit bersama," kata beliau kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Penyelaras ASEAN (ACC) ke-37, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan turut menekankan bahawa penyertaan penuh Timor-Leste akan membawa perspektif baharu kepada ASEAN, bukan sahaja dalam bidang politik dan ekonomi, malah dari segi budaya dan sosial.

Penyertaan rasmi itu turut menandakan penyertaan Timor-Leste dalam Mesyuarat Suruhanjaya Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ), memperkukuh komitmen bersama memastikan rantau ini kekal sebagai zon aman dan stabil.

Langkah ini melambangkan kejayaan diplomatik serta pengukuhan integrasi serantau Asia Tenggara.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN