fb fb fb fb fb

Tribunal Israel putuskan nasib delegasi Malaysia malam ini

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar/RTM

SERI KEMBANGAN, 9 Oktober – Proses tribunal Israel yang menentukan nasib sembilan rakyat Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza dijangka selesai tengah malam ini waktu Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata peguam daripada organisasi ADALAH kini sedang mengendalikan kes berkenaan dan menunggu laporan penuh hasil prosiding tribunal.

Menurutnya, daripada sembilan delegasi Malaysia, tujuh telah menandatangani surat deportasi, manakala dua lagi masih menunggu keputusan mahkamah rejim Zionis.

“Tujuh delegasi Malaysia sudah menandatangani surat deportasi, manakala status dua orang lagi masih belum diketahui. Pihak MyCARE masih menunggu laporan daripada peguam ADALAH di Israel, dan dijangka proses tribunal selesai tengah malam ini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kamarul Zaman turut memaklumkan beberapa peserta misi dikasari ketika penahanan, termasuk menerima layanan tidak berperikemanusiaan oleh tentera Israel.

Beliau menjelaskan, delegasi Malaysia membawa bantuan kemanusiaan bernilai hampir RM500,000, merangkumi ubat-ubatan dan makanan bayi, namun misi berkenaan dihalang kira-kira 120 batu nautika dari pantai Gaza.

MyCARE menegaskan semua peserta misi terdiri daripada doktor dan wartawan antarabangsa, bukannya pengganas seperti yang didakwa pihak Israel.

Dalam pada itu, Kamarul Zaman menyeru rakyat Malaysia agar terus berdoa untuk keselamatan kesemua delegasi, dan berharap mereka dapat dibebaskan serta pulang ke tanah air dengan selamat dalam masa terdekat.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN