fb fb fb fb fb

Dua aktivis misi Global Sumud Flotilla selamat tiba di Terengganu

Dua aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu./BERNAMA

KUALA NERUS, 9 Oktober – Laungan “Bebas Palestin” mengiringi kepulangan dua aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF), Muhammad Abdullah, 32, dan Mohd Asmawi Mukhtar, 52, yang selamat tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, petang tadi.

Mereka merupakan sebahagian daripada aktivis misi kemanusiaan yang belayar ke Gaza membawa mesej keamanan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap penderitaan penduduk Palestin.

Suasana hiba bercampur gembira menyelubungi ketibaan mereka apabila lebih seribu rakyat termasuk ahli keluarga dan rakan seperjuangan hadir memberikan sokongan.

Kedua-dua aktivis berkenaan menzahirkan kesyukuran kerana selamat tiba, namun tetap memikirkan nasib sembilan lagi rakan seperjuangan misi Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza yang masih ditahan di Israel.

“Kalaulah diberikan kekuatan… setakat ni kita nak usaha untuk masuk ke bumi Rafah. Mereka semua dah berusaha dan dah cuba minta dengan PM untuk berbincang. Akhirnya hari ni kita dapat keputusan bahawa dah ada perjanjian damai. Bila begitu, nampak peluang cerah untuk kita masuk ke bumi Rafah melalui darat. Doalah sama-sama insya-Allah mudah-mudahan kita boleh masuk,” kata Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Kecil ketika ditemui pemberita petang tadi.

Sementara itu, Mohd Asmawi Mukhtar berkata misi itu tidak akan terhenti.

“Insya-Allah, misi ini akan diteruskan sehinggalah Palestin dibebaskan. Gaza mesti dibebaskan daripada genosid yang dilakukan oleh pihak Israel. Usaha ini perlu diteruskan,” katanya.

Mereka menegaskan, misi seterusnya sedang dirancang bagi menyalurkan bantuan ke Gaza melalui laluan darat di Rafah.

Kepulangan dua aktivis itu menjadi pembakar semangat rakyat Malaysia untuk terus memperjuangkan kebebasan Palestin.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI