fb fb fb fb fb

Dasar pemilikan mampu milik Melayu akan digubal – Dr Zaliha

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan akan menggubal satu dasar baharu bagi mewajibkan serta mewujudkan kategori pemilikan mampu milik Melayu sebagai langkah ke hadapan untuk meningkatkan peratusan pemilikan orang Melayu dalam pembangunan Kampung Sungai Baru.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata Jabatan Wilayah Persekutuan telah diarah merangka dan mengkaji pelaksanaan dasar serta inisiatif baharu berkenaan.

Menurutnya, dasar itu turut akan melibatkan potensi penglibatan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dalam pembangunan projek dengan penetapan syarat bahawa rumah ganti hanya boleh dimiliki oleh orang Melayu.

“Selaras dengan ketetapan dasar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), saya telah mengarahkan satu dokumen dasar digubal yang mewajibkan kepelbagaian jenis pembangunan, khususnya di kawasan Kampung Sungai Baru.

“Langkah ini bagi membolehkan wujudnya kategori baharu seperti kondominium mampu milik Melayu, SOHO mampu milik Melayu, rumah kedai mampu milik Melayu dan ruang pejabat mampu milik Melayu, selain meneruskan projek Residensi Madani dan Rumawip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sesi Penerangan Menteri Berkenaan Hala Tuju Pembangunan Kampung Baru ke Arah Pemerkasaan Identiti Melayu di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha menjelaskan jumlah pampasan yang ditawarkan kepada penduduk ketika proses pengambilan tanah dijalankan adalah lebih menguntungkan berbanding nilai sebenar pasaran.

Katanya, rekod jual beli pada tahun 2015 dan 2019 menunjukkan harga pasaran asal jauh lebih rendah, iaitu bagi unit flat sekitar RM120,000 hingga RM180,000, manakala rumah teres pula sekitar RM200,000 hingga RM480,000.

Jelas beliau, sekiranya terdapat pemilik yang tidak berpuas hati dengan nilai pampasan yang ditawarkan, mereka boleh menggunakan saluran undang-undang sedia ada, dan kerajaan sentiasa menghormati keputusan mahkamah.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut menegaskan Kampung Sungai Baru tidak pernah diwartakan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau tanah rizab Melayu.

Beliau berkata demikian berdasarkan semakan yang dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, susulan kekeliruan yang timbul berkaitan kedudukan sebenar Kampung Sungai Baru dalam kawasan MAS.

“Setelah sungai tersebut diluruskan, maka wujudlah tanah baharu yang dianggarkan seluas kira-kira 16 ekar. Tanah baharu inilah yang dinamakan Kampung Sungai Baru, tetapi tidak termasuk di dalam kawasan rizab MAS seluas 219.91 ekar.

“Tanah ini kemudiannya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bertujuan menambah penempatan orang Melayu di sekitar Kampung Bharu. Namun, tiada rekod rasmi menunjukkan tanah tersebut adalah tanah MAS atau rizab Melayu,” jelasnya.

Dr Zaliha turut menjelaskan sejarah pembentukan Kampung Sungai Baru bermula pada tahun 1967, apabila Kerajaan Negeri Selangor ketika itu meluruskan Sungai Klang yang terletak berhampiran kawasan MAS bagi mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN