KOTA KINABALU, 23 Oktober- Kerajaan kini dalam usaha memperkenal Tribunal Antibuli, satu mekanisme pantas dan mesra mangsa buli dalam menangani isu berkenaan secara tuntas.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tribunal akan memberi alternatif penyelesaian lebih cepat dan efektif kepada mangsa berbanding proses mahkamah biasa yang mengambil masa bertahun-tahun.
"Jadi, tempoh masa Tribunal Gangguan Seksual di bawah Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ialah 90 hari. Oleh itu, kami berharap tribunal ini akan menghasilkan proses yang boleh dijalankan dalam tempoh 60 hari atau 90 hari.
Dengan ini, jika anda ingin mengelakkan proses kehakiman mahkamah, anda boleh pergi ke tribunal dan prosesnya adalah lebih pantas. Tambahan pula, ia adalah berkaitan dengan perkara sivil. Tahap kepuasan (pihak yang terlibat) akan lebih terjamin," kata Datuk Seri Azalina, hari ini.
Beliau ditemui media selepas menghadiri Sesi Townhall Antibuli Siri Sabah, di sini.
Siri jelajah Townhall Antibuli yang bermula di Putrajaya pada 11 September lalu menjelajah ke seluruh negara.
Platform itu sebagai wadah penting untuk mendengar suara rakyat agar dasar yang digubal adalah berpaksikan realiti masyarakat.
Cadangan penubuhan tribunal telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 22 Ogos, yang turut meluluskan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Isu Buli.
Kerajaan juga sedang meneliti Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 bagi memperkukuh perlindungan terutama kepada golongan bawah 18 tahun.