PUTRAJAYA, 23 Oktober - Penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 disifatkan sebagai platform penting bagi memperkukuh hubungan strategik serta membuktikan komitmen berterusan rantau ini dalam menghadapi cabaran global melibatkan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan sosial.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Salawati Yahaya berkata, sidang kemuncak tersebut membuktikan kesepakatan pemimpin ASEAN dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks.
"Sidang Kemuncak ASEAN penting kerana ia memperlihatkan kesepakatan pemimpin rantau ini dalam menghadapi pelbagai cabaran global seperti perubahan iklim, kestabilan politik, keselamatan makanan dan isu keselamatan maritim. Ini menunjukkan ASEAN masih relevan dalam landskap geopolitik dunia," katanya.
Bagi Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Azlan Razali berkata, sidang kemuncak tersebut bukan sahaja memperlihatkan kekuatan kesepaduan ASEAN, malah mencerminkan kesungguhan negara anggota dalam mendepani isu-isu geopolitik dan keselamatan serantau.
"Saya berpandangan Sidang Kemuncak ke-47 ASEAN pada kali ini adalah satu platform penting dan strategik yang mampu mengukuhkan hubungan antara negara-negara Asia Tenggara, dan ia menunjukkan komitmen berterusan ASEAN dalam meningkatkan aspek keselamatan, ekonomi dan sosial masyarakat di rantau ini," katanya.
Sementara itu, Bintara Muda Maritim, Ismail Yakub, ASEAN bukan sekadar platform kerjasama antara kerajaan, tetapi turut memainkan peranan sebagai pemangkin peningkatan kecekapan pentadbiran dan perkongsian amalan terbaik antara negara anggota.
"Sebagai penjawat awam, saya melihat ASEAN bukan sekadar kerjasama kerajaan-ke-kerajaan, tetapi platform penting untuk meningkatkan kecekapan pentadbiran melalui pertukaran kepakaran dan pengalaman antara negara anggota," ujarnya.