BALIK PULAU, 23 Oktober -Laluan di Jalan Tun Sardon, di sini terjejas petang tadi selepas berlaku runtuhan tanah dan pokok tumbang dari kawasan cerun berhampiran.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohd Faiz Helmi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang sebelum tiba di lokasi kejadian pada pukul 5.10 petang.
"Pemeriksaan mendapati runtuhan tanah dari bukit berhampiran menutupi sebahagian jalan dengan keluasan dianggarkan 30 x 20 meter persegi.
Pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau kemudian menjalankan kerja-kerja pembersihan dan mengalihkan pokok tumbang bagi memastikan laluan kembali selamat digunakan," katanya dalam satu kenyataan.
Operasi pembersihan tamat sepenuhnya pada pukul 5.50 petang.
Kejadian itu menarik perhatian orang ramai selepas satu rakaman kamera pemuka yang memaparkan detik tanah runtuh berkenaan tular di media sosial.
Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam kejadian tersebut.