fb fb fb fb fb

Haji: Bakal jemaah gagal tapisan kesihatan boleh kemuka permohonan semula tahun depan

Foto RTM

SHAH ALAM, 23 Oktober - Bakal jemaah haji 1446H/2025M yang tidak melepasi tapisan kesihatan masih berpeluang mengerjakan ibadah itu pada musim akan datang sekiranya tahap kesihatan mereka semakin baik dan disahkan layak oleh pasukan perubatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan, penilaian semula kesihatan jemaah terlibat dibuat berdasarkan kemampuan dari aspek fizikal dan kesihatan bagi melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.

"Menurut Tabung Haji, jumlah individu yang tidak dapat menunaikan haji (akibat masalah kesihatan) pada musim 2025 hanya 3 peratus . Bagaimanapun gagal untuk tahun ini tidak bermakna tiada peluang untuk menunaikan haji pada tahun seterusnya.

"Sekiranya jemaah terlibat berusaha dengan menjaga kesihatan baik-baik , surat tawaran haji (pada musim seterusnya) akan diberi kepada mereka apabila benar-benar layak, " jelas beliau ketika ditemui pada Majlis Penutupan Konvensyen Mualaf Madani (KEMUDI) Peringkat Kebangsaan 2025, di sini yang menghimpunkan 500 peserta dari seluruh negara.

Beliau menekankan yang penilaian kesihatan bakal jemaah penting bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan sepanjang berada di Tanah Suci, khususnya ketika berdepan cuaca panas ekstrem yang berisiko kepada jemaah berpenyakit kronik seperti jantung, kencing manis dan darah tinggi.

Baru-baru ini Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan syarat kesihatan yang lebih ketat perlu dipatuhi jemaah untuk menunaikan haji bagi musim depan.

Syarat itu termasuk bebas daripada penyakit berjangkit dan penyakit kronik selain berupaya menjalankan ibadat haji dengan sendiri.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN