KUALA LUMPUR, 23 Oktober -Penyelarasan strategi politik, keselamatan dan ekonomi antara negara anggota perlu diperkukuh bagi memastikan ASEAN kekal stabil dan relevan dalam landskap geopolitik yang semakin mencabar.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, kerjasama serantau yang lebih tersusun akan meningkatkan keupayaan ASEAN menangani isu berkaitan keamanan, keselamatan, perdagangan dan pelaburan.
“Malaysia kekal komited memperkukuh kerjasama dalam ketiga-tiga bidang utama ini bagi membolehkan ASEAN berdepan cabaran serantau dan global dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Mesyuarat Bersama Pegawai Kanan ASEAN (SOM) dan Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) di sini, hari ini.
Beliau menambah, Pasukan Petugas Geoekonomi ASEAN memainkan peranan penting dalam merangka strategi bersama menghadapi perubahan ekonomi global yang dinamik.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Perdagangan) Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata, perpaduan dan kepragmatikan negara anggota menjadi tunjang kepada kestabilan serantau serta kesejahteraan rakyat ASEAN.
Jelas beliau, kekuatan ini perlu terus dipelihara bagi memastikan ASEAN kekal sebagai blok ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.