fb fb fb fb fb

Treler terbakar, dua mayat rentung

SEREMBAN, 20 Januari- Pemandu dan penumpang sebuah treler rentung akibat tersepit selepas kenderaan dinaiki terlanggar penghadang jalan sebelum terbakar di Kilometer (km) 259.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, berhampiran susur masuk Plaza Tol Seremban-Port Dickson.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi tadi telah menyebabkan semua lorong terhalang di laluan berkenaan dan berlaku kesesakan lalu lintas hingga sejauh lebih enam kilometer.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, kedua-dua mangsa dijumpai rentung di dalam treler yang membawa kontena itu selepas pasukannya berjaya memadamkan api yang memusnahkan keseluruhan bahagian kepala kenderaan terbabit.

Terdahulu, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 8.42 pagi sebelum sepasukan petugas dengan kekuatan sembilan anggota serta pegawai bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bergegas ke lokasi.

(FOTO FB LembagaLebuhrayaMalaysia)

Punca kejadian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia menerusi laman Facebook memaklumkan, kejadian menyebabkan semua lorong terhalang dan kenderaan dilencongkan ke Plaza Tol Port Dickson.

Mayat dihantar ke Bahagian Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media Baharu