fb fb fb fb fb

Perkhidmatan bas Skip Stop Xpress dilanjutkan hingga 14 April - Rapid Bus

KUALA LUMPUR, 20 Januari- Perkhidmatan bas Skip Stop Xpress yang membawa penumpang dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang ke stesen KLCC dan stesen Ampang Park, akan dilanjutkan sehingga 14 April ini.

Perkhidmatan bas yang bermula Mei tahun lepas dan masih di bawah bukti konsep (POC) itu dilanjutkan perkhidmatannya susulan sambutan memuaskan daripada pengguna selain turut mengekalkan tambang RM1.90 bagi perjalanan sehala.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij dalam kenyataan hari ini berkata, perkhidmatan Skip Stop Xpress adalah sebahagian dari kajian awal bagi mengumpul data untuk penambahbaikan jangka panjang dan secara bersepadu bertujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Rapid KL dari kawasan Ampang ke arah pusat bandar.

Beliau berkata kawasan Ampang yang kini semakin padat memerlukan satu jaringan pengangkutan awam yang lebih baik dan untuk itu, Rapid Bus telah menjalankan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengatasi masalah berkenaan.

“Kami menyeru agar lebih ramai warga sekitar Ampang mengambil peluang untuk menggunakan perkhidmatan bas Skip Stop Xpress ini untuk ke pusat bandar.

“Perjalanan yang mudah serta menjimatkan ini dapat membantu meringankan perbelanjaan harian mereka dan dengan menaiki pengangkutan awam, orang ramai juga boleh menyumbang kepada pengurangan pengeluaran gas karbon di Lembah Klang,” katanya.

(Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij / FOTO BERNAMA)

Perkhidmatan bas Skip Stop Xpress beroperasi seawal pukul 6.30 pagi hingga 8.00 pagi dan 5.30 petang sehingga 7.15 malam bagi waktu puncak pada Isnin hingga Jumaat.

Muhammad Yazurin berkata pihaknya turut menyasarkan untuk meneruskan perkhidmatan bas Skip Stop Xpress di LRT Ampang sebagai operasi normal setelah POC berakhir selain mempertimbangkan POC di lokasi lain. -BERNAMA

Media Baharu