KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Stesen radio TRAXXfm memperkenalkan segmen baharu dikenali sebagai TRAXX Trade Talk atau TTT, fokus kandungan niaga dan ekonomi.
Segmen baharu di Radio Televisyen Malaysia (RTM) itu dilancarkan secara rasmi hari ini oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman.
Ia merupakan hasil kerjasama serta penerbitan bersama Seksyen Berita Radio, Bahagian Berita Ehwal Semasa dan mula bersiaran sejak 2 September lalu.
Menurut Datuk Suhaimi, TTT menyasarkan golongan profesional, pengurus, eksekutif dan ahli perniagaan.
Rancangan itu satu cara untuk mendekati golongan berkenaan melalui perkongsian maklumat tentang ekonomi dan perniagaan dalam bentuk mudah difahami tetapi tepat, padat dan santai.
“Triple T merupakan antara cara untuk menarik perhatian golongan tersebut. Maksudnya, kami menyampaikan cerita atau berita tentang ekonomi dan perniagaan dengan cara yang ringkas tetapi tepat kepada isi penting.
"Saya rasa itu sangat penting kerana dalam apa sahaja yang kami lakukan, bukan sekadar mahu menghiburkan, tetapi juga memberikan maklumat untuk membantu orang ramai membuat keputusan. Jadi, itulah sebenarnya yang kami lakukan - memaklumkan, mendidik dan menghiburkan." katanya.
"Kandungan segmen memberi tumpuan kepada isu-isu ekonomi utama dan trend pasaran semasa seperti ekonomi digital, alam sekitar, sosial serta tadbir urus ESG dan kelestarian, rantaian bekalan global, inovasi, serta perkembangan komoditi." katanya lagi.
Tambah Datuk Suhaimi, RTM bukan hanya untuk rakyat Malaysia, malah diperluas ke pasaran antarabangsa.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Berita Ehwal Semasa RTM, Md Shahri Saripan berkata kolaborasi antara berita dengan program radio menerusi Seksyen Berita Radio, mampu menerbitkan produk yang berkualiti dan sangat baik.
Pada masa sama, bermanfaat serta diyakini dapat menarik tumpuan khalayak khususnya pendengar setia radio RTM.
"Kita mengetengahkan satu konsep penyampaian maklumat tentang perniagaan dan juga perdagangan semasa dalam dan luar negara kepada pendengar setia Traxx.fm semasa memandu kenderaan.
"Jadi bagi saya satu kolaborasi yang cukup baik dan mungkin menjadi satu pilihan pendengar sehingga ke hari ini." katanya.
Pengarah Bahagian Program Radio Saifuzzaman Yusop pula berkata, program Triple T adalah kolaborasi strategik lintas platform antara Berita Ehwal Semasa dan program Radio RTM.
Program itu mampu mengangkat ekonomi, pelaburan dan perdagangan pada skala lebih luas untuk siaran di stesen-stesen radio RTM lain, pada masa depan.
"Kita mahu menjadikan RTM sebagai hab maklumat ekonomi kepada semua pendengar dan penonton radio ke berita RTM. Jadi, pada masa hadapan kita sedang merancang untuk melihat subsistem yang sangat berkesan dan fokus kepada pendengar dan penonton RTM." katanya.
TTT (Triple T) disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat pada pukul 7.45 pagi dan 6.45 petang serta dikendalikan oleh penyampai TRAXXfm yang popular seperti Double D, Otto dan Els dan penyampai berita radio Inggeris RTM.
Pendengar boleh mendengar menerusi frekuensi 90.3 MHz di Lembah Klang dan 100.1 MHz di Selangor atau melalui aplikasi RTMKlik.