fb fb fb fb fb

Nelayan nikmati dua subsidi bahan bakar serentak

Setiap nelayan kini mendapat dua manfaat iaitu subsidi bahan bakar RM1.65 seliter serta BUDI95./RTM

DUNGUN, 9 Oktober – Nelayan di Terengganu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada kerajaan susulan pemberian subsidi Budi MADANI RON95 (BUDI95) yang turut disalurkan kepada golongan nelayan.

Mereka menyifatkan bantuan itu sebagai bukti keprihatinan kerajaan dalam meringankan beban kos sara hidup, selain subsidi bahan bakar nelayan sedia ada berharga RM1.65 seliter yang disalurkan melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan.

Dengan pelaksanaan BUDI95 yang menawarkan harga RM1.99 seliter, nelayan kini menikmati dua subsidi bahan bakar serentak yang dapat membantu mengurangkan kos operasi harian di laut serta urusan harian lain.

Pengerusi Persatuan Nelayan Terengganu, Mat Yassin Mohamad, berkata inisiatif itu membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap nasib nelayan di seluruh negara.
 

“Setakat ini kita berterima kasih kepada kerajaan kerana melalui BUDI95, setiap rakyat termasuk nelayan menerima 300 liter sebulan untuk kegunaan harian.

“Bagi nelayan pula, mereka turut menerima subsidi sedia ada berharga RM1.65 seliter.

“Kini proses pengemaskinian sedang dilakukan supaya tidak berlaku pertindihan antara dua subsidi berkenaan,” katanya.
 
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Nelayan Dungun berkata, LKIM sedang menyemak dan mengemas kini data bagi memastikan semua nelayan layak menerima BUDI95.

Sementara itu, pengusaha bot nelayan, Mohd Muslim Hashim, turut menyambut baik pemberian dua subsidi itu yang disifatkan dapat membantu meringankan beban.

“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan minyak BUDI95 ini. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kami.

“Kami juga berharap kerajaan boleh menilai semula bantuan minyak untuk bot-bot kecil,” katanya.

Seorang lagi nelayan, Alaudin Ali, berkata inisiatif berkenaan menunjukkan kerajaan amat prihatin terhadap keperluan nelayan di seluruh negara.

“Langkah ini amat membantu, terutama apabila kos operasi di laut semakin meningkat. Dengan dua subsidi ini, beban kami jauh berkurangan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, ketika ditemui pada Program Rahmah Mesra MADANI Bersama Nelayan Dungun hari ini berkata, setakat ini seramai 17,900 nelayan di seluruh negara telah menerima manfaat BUDI95.

“Setiap nelayan kini mendapat dua manfaat iaitu subsidi bahan bakar RM1.65 seliter mengikut kuota masing-masing serta tambahan 300 liter sebulan bawah BUDI95 pada harga RM1.99 seliter.

“Mereka perlu menggunakan kedua-dua subsidi ini secara berintegriti dan bertanggungjawab,” katanya.

Menurut Muhammad Faiz, kombinasi dua subsidi itu dilihat mencukupi bagi menampung keperluan bahan bakar nelayan dan mengurangkan tekanan kos operasi harian, sejajar dengan matlamat subsidi bersasar bawah inisiatif Budi MADANI.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI