fb fb fb fb fb

Tragedi kepala air Jeram Mawar: Laporan awal bakal siap dalam masa terdekat

(FOTO RTM)

KOTA BHARU, 3 Julai -Laporan awal mengenai kejadian kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat Chukai, Terengganu dijangka siap dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ketika ini, Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih melakukan tinjauan awal di lokasi kejadian dan pihak polis sedang melakukan siasatan.

"Sekarang sudah ada tinjauan awal daripada pihak JMG dan siasatan polis, laporan mengenai kejadian itu akan siap dalam masa terdekat.

Berjaga-jaga sekiranya ingin ke kawasan rekreasi dan sebagainya. Pastikan keselamatan menjadi keutamaan", katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja projek membina dan menaik taraf sistem saliran di negeri Kelantan dekat Taman Wadi Iman, Kok Lanas, di sini hari ini.

Sementara itu, empat projek menaik taraf sistem saliran di Kelantan berjumlah RM11.5 juta akan dilaksanakan segera pertengahan bulan ini.

Projek-projek tersebut melibatkan kawasan di Baruh Kadok ke Pasar Batu 8, Kampung Kota, kawasan belakang Istana negeri Kubang Kerian dan Taman Wadi Iman, Kok Lanas di sini.

Nik Nazmi berkata, perlaksanaan itu bertujuan mengatasi masalah banjir kilat yang dihadapi sekitar 7,300 penduduk di kawasan-kawasan itu setiap tahun.

“Skop melibatkan kerja-kerja antaranya menaik taraf saliran konkrit, membaik pulih jalan dan penutup longkang jalan yang dijangka siap pada Mei tahun depan,” katanya di sini.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNG) Kelantan berkata pihak berharap semua pihak termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri itu disaran melakukan perancangan jangka panjang bagi memastikan masalah sama tidak berulang.


(Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad)

Media Baharu