fb fb fb fb fb

Tragedi Jitra: Keselamatan jalan dikaji semula

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid menziarahi adik Putri Qisya Nur Izzat.

JERLUN, 8 Julai - Kementerian Kerja Raya bersama agensi berkaitan diminta menilai semula tahap keselamatan jalan raya di kawasan Sungai Korok, Jitra susulan kemalangan tragis yang meragut enam nyawa sekeluarga, kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terdapat keperluan mendesak untuk membina penghadang keselamatan dan memasang lampu jalan di lokasi kejadian bagi mengelakkan insiden seumpama itu daripada berulang.

"Saya telah mendapat taklimat dan kita akan berbincang dengan JKR untuk membuat penghadang jalan di tepi sungai itu. Lampu jalan pula saya ikhtiarkan untuk dipasang di kawasan itu dan juga di kawasan-kawasan gelap yang lain.

Secara kebetulan saya juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai keselamatan jalan raya dan kesesakan jalan raya. Maka saya akan maklumkan kepada pihak berkaitan supaya tindakan segera dilakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menziarahi adik Putri Qisya Nur Izzat, 12 tahun, satu-satunya waris yang terselamat dalam tragedi berkenaan, di kediamannya di Kampung Bohor Karang, Jerlun.

Dalam kunjungan itu, Datuk Seri Dr Zahid turut menyampaikan sumbangan serta memberi kata-kata semangat kepada Putri Qisya.

Sebagai tanda sokongan berterusan, dia ditawar untuk melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sebaik tamat persekolahan rendah tahun ini. Putri Qisya juga akan dijadikan anak angkat MARA sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

TUN JULIA MOHD TAHIR