KUALA LUMPUR, 23 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi nahas jet tentera yang terhempas di Dhaka, Bangladesh sehingga meragut banyak nyawa dan mencederakan lebih 100 kanak-kanak.
Datuk Seri Anwar memaklumkan beliau akan menulis kepada Ketua Penasihat Kerajaan Sementara Bangladesh, Profesor Muhammad Yunus, bagi menyampaikan solidariti rakyat Malaysia terhadap insiden yang menyayat hati itu.
"Saya akan menulis kepada Profesor Muhammad Yunus untuk menyampaikan solidariti Malaysia kepada saudara-saudari kita di Bangladesh. Dalam saat duka ini, kami berdiri teguh bersama anda. Kami turut meratapi setiap nyawa yang terkorban dan setiap keluarga yang kehilangan," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Perdana Menteri turut menzahirkan penghormatan kepada seorang guru, Maherin Chowdhury yang terkorban dalam kejadian tersebut dan disifatkan sebagai wira sebenar.
Menurut laporan, Maherin bergegas menyelamatkan murid-muridnya keluar dari bangunan sebaik nahas berlaku, sebelum kembali semula ke dalam kepulan asap dan api demi menyelamatkan lebih ramai pelajar.
"Keberanian beliau adalah luar biasa dan pengorbanan ini tidak akan kami lupakan," ujar Datuk Seri Anwar.