fb fb fb fb fb

Jerebu: Pemantauan berterusan JAS di kawasan tumpuan

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 23 Julai - 66 Stesen Pengawasan Kualiti Udara di seluruh negara merekodkan status kualiti udara tahap sederhana sehingga pagi tadi, manakala dua lagi stesen menunjukkan bacaan kualiti udara tahap baik.
 
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pemantauan berterusan dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di semua kawasan tumpuan, susulan jerebu ketika ini.
 
Tumpuan diberikan di kawasan pertanian, tanah gambut, ladang terbiar dan tapak pelupusan sampah.

"Dari segi lokasi panas atau hotspot telah mencatatkan pengurangan. Kebanyakan kes berlaku di negara jiran, namun terdapat juga beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah.

"JAS akan menjalankan siasatan dan tindakan akan diambil mengikut bidang kuasa di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling." katanya ketika ditemui selepas simulasi kecemasan bagi menangani tumpahan bahan kimia kerjasama Jawatankuasa Bersama Alam Sekitar Malaysia-Singapura (MSJCE) kali ke-14 di Lebuhraya  Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua).
 
Latihan itu bagi meningkatkan kecekapan agensi kedua-dua negara sekiranya berlaku tumpahan kimia di kawasan sempadan negara.
 
Sejak Januari hingga Jun lalu, sebanyak 50 permohonan mengimport dan mengeksport bahan kimia diterima.
 

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN