ALOR SETAR, 23 Julai - Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penurunan harga petrol menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap keperluan rakyat.
Di Alor Setar, Kedah, orang ramai yang ditemui menyambut baik langkah tersebut dan melahirkan perasaan gembira. Keputusan itu dapat meringankan beban rakyat.
Mohd Radzi Shamsudin, salah seorang penduduk tempatan, berkata keputusan itu amat dinanti-nantikan sejak sekian lama.
"Inilah rakyat nanti-nantikan sejak dahulu, prinsip perjuangan Datuk Seri Anwar adalah menurunkan minyak dan sekarang harga minyak dah turun dan rakyat bersyukur dengan penurunan harga minyak ini. Ia dapat menyelesaikan banyak masalah dan saya harap harga barang yang lain dan kos-kos yang lain pun turut turun sekali", katanya.
Sementara itu, Md Zaki Md Nor turut melahirkan rasa syukur terhadap pengumuman yang menggembirakan itu.
"Alhamdullilah inilah yang dinanti-nantikan selama ini, saya harap penurunan harga minyak ini dapat meringankan bebanan rakyat. Harapan saya harga barang dapat diturunkan , terima kasih kepada PMX", katanya.
Manakala, bagi Nohd Izwan Ibrahim, penurunan harga petrol memberi manfaat menyeluruh, bukan sahaja kepada pengguna individu, malah kepada peniaga dan pengusaha industri kecil.
"Kita melihat fiskal ekonomi harga minyak ini dapat mengurangkan beban kepada peniaga-peniaga industri, untuk orang kampung mengambil anak sekolah, beli beli barang untuk buat perniagaan. Penurunan harga minyak ini secara automatik, memberi kesan kuranglah kenaikan harga yang berlaku.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar mengumumkan rakyat Malaysia bakal menikmati harga petrol RON95 yang lebih rendah iaitu RM1.99 seliter, menerusi 'Penghargaan untuk Rakyat Malaysia'.
Langkah tersebut selaras dengan pendekatan subsidi bersasar yang dilaksanakan kerajaan.
Perincian pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 akan diumumkan selewat-lewatnya akhir September 2025.
Pendekatan bersasar itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 18 juta pengguna, merangkumi pemandu kereta, penunggang motosikal, belia seawal usia 16 tahun serta pekerja gig.