KEPALA BATAS, 26 Februari- Ibu bapa dan guru disaran meningkatkan kesedaran dalam memastikan kanak-kanak tidak mengambil makanan berisiko seperti makanan ringan dan gula-gula kenyal bagi mengelakkan kejadian tidak diingini termasuk tercekik.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu penting bagi mengelakkan kejadian serupa berulang serta memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya ibu bapa dan pendidik.
"Kes seperti ini memberi pengajaran kepada kita semua. Ibu bapa dan guru perlu sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak mengenai bahaya makanan tertentu yang boleh mengancam keselamatan mereka," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Peluncuran Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Fertiliti (BuAI) di Pusat Keluarga LPPKN Pulau Pinang di sini hari ini.
Pada 20 Februari lalu, seorang kanak-kanak berusia 10 tahun dilaporkan meninggal dunia akibat tercekik gula-gula kenyal atau 'gummy candy' selepas membelinya di sebuah gerai hadapan sekolah.
Sehubungan itu, beliau menegaskan ibu bapa perlu lebih tegas dalam memantau pemakanan anak-anak, selain guru turut memainkan peranan dalam memastikan keselamatan murid di sekolah.
BERITA BERKAITAN
- Jenazah kanak-kanak tercekik ‘gummy' selamat dikebumi
- Kematian kanak-kanak tercekik 'gummy' tiada unsur jenayah
- Insiden tercekik gula-gula: KPM tingkat kesedaran pembelian makanan murid
- KPKT gesa semua pihak lapor penjualan 'gummy' luar premis sekolah
- Keselamatan kanak-kanak: Larangan ‘gummy’ langkah tepat