fb fb fb fb fb

Tragedi bot terbalik: Pemandu positif dadah

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu / Foto RTM

BESUT, 29 Jun-Pemandu bot yang terbalik di Pulau Perhentian yang mengorbankan tiga nyawa ditahan polis selepas didapati positif dadah.

Tiga penumpang maut dikenali sebagai Arumugam Sativelo, 40 tahun, Vennpani Vijeya Raj, 10 tahun dan Sarrvihka Arumugam, 3 tahun.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad@Abu berkata insiden dipercayai  berlaku selepas kejadian ribut di hadapan sebuah resort.

Beliau turut mengesahkan bahawa bot berkenaan berdaftar, namun melanggar beberapa peraturan operasi, termasuk membawa muatan berlebihan dan beroperasi di luar waktu dibenarkan.

“Bot itu sepatutnya hanya membawa 12 orang, tetapi dinaiki 15 penumpang dan seorang pemandu.

"Lebih membimbangkan, tiada penumpang yang memakai jaket keselamatan, dan bot sepatutnya beroperasi dari pukul 6.30 pagi hingga 6.30 petang sahaja,” katanya.

Difahamkan, kumpulan penumpang berkenaan dipercayai ingin ke Pulau Perhentian Kecil untuk menyaksikan pertunjukan bunga api apabila cuaca tiba-tiba bertukar buruk.

Berdasarkan maklumat awal bot berkenaan dinaiki 16 orang termasuk seorang pemandu bot.

Pemandu bot berusia 20-an yang juga penduduk tempatan ditahan reman untuk membantu siasatan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD