KUALA LUMPUR, 9 Februari- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina dalam satu hantaran di facebook.
Beliau berharap perayaan yang akan disambut esok akan mempereratkan lagi perpaduan antara kaum di negara ini.
Selain itu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yakin sambutan perayaan tersebut akan membawa kebahagiaan dan mengeratkan lagi hubungan perpaduan serta kekeluargaan sesama rakyat.
"Berteraskan semangat Malaysia MADANI marilah kita bersama-sama menjadikan Tahun Baharu Cina yang disambut ini sebagai satu perayaan untuk memupuk kebersamaan dan menitikberatkan sikap saling hormat-menghormati.
"Saya mengambil kesempatan untuk menzahirkan penghargaan atas segala pencapaian dan sumbangan daripada masyarakat Cina terhadap pembangunan negara. Selamat Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai," katanya dalam satu video yang dimuat naik menerusi media sosialnya.
Beliau turut mengingatkan semua pemandu agar sentiasa beringat dan patuh dengan peraturan jalan raya ketika pulang ke kampung halaman.
Dalam pada itu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof turut mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh masyarakat Cina di Malaysia dalam satu hantaran di facebook.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap sambutan Tahun Naga ini akan membawa kesihatan berpanjangan, kebahagian, rezeki dan kemakmuran kepada semua.
"Jadikanlah perayaan ini sebagai wadah untuk kita memperkukuhkan lagi hubungan harmoni dan perpaduan di kalangan kita. Raikanlah kepelbagaian kaum, agama dan budaya sebagai kekuatan yang menyatukan kita semua.
"Sesungguhnya perpaduan adalah kunci utama kepada keamanan, keharmonian dan kestabilan dalam sesebuah negara serta kunci utama kepada kejayaan Malaysia," katanya.