KUALA LUMPUR, 9 Februari- Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang mungucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina dalam satu hantaran di facebook.
Beliau berharap agar perayaan itu akan dimeriahkan dengan suasana dan tradisi kunjung-mengunjung jiran tetangga sekali gus meningkatkan semangat kebersamaan antara rakyat.
"Semoga tahun baharu ini membuka rahmat yang lebih baik untuk negara," katanya dalam hantaran itu.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam hantaran video ringkas menerusi laman X berkata, sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini menonjolkan keharmonian yang wujud antara masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
"Kegembiraan, keharmonian dan kemakmuran menjadi idaman kita semua. Meskipun kita berbeza agama, budaya dan bangsa tetapi kita tetap sehati sejiwa," katanya.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina dalam satu hantaran di facebook.
Mohamad berkata sikap saling menghormati antara rakyat menjadi resipi kepada keamanan dan keharmonian negara.
"Kekuatan yang ada pada diri setiap warga Malaysia menjadikan kita sebuah negara yang mampu bersaing dan setanding dengan negara-negara besar lain.
"Marilah kita bersama merayakan tradisi ini dengan menyuburkan lagi hubungan kasih sayang antara ahli keluarga, saudara-mara dan sahabat handai dengan menyambutnya dengan penuh semangat, keceriaan dan keakraban," katanya dalam hantaran Facebook.