fb fb fb fb fb

Kutipan zakat di P.Pinang tahun lalu rekod peningkatan RM159.7 juta

BUKIT MERTAJAM, 9 Februari- Kutipan zakat di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu merekodkan peningkatan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM159.7 juta berbanding RM150.14 juta pada 2022. Ia melibatkan kutipan bagi zakat harta dan zakat fitrah.

Yang dipertua Majlis Agama Islam negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, mengikut pecahan, kutipan zakat fitrah meningkat 4.01 peratus iaitu RM6.84 juta berbanding RM6.58 juta pada tahun sebelumnya.

Manakala, zakat harta pula mencatatkan kutipan sebanyak RM152.86 juta berbanding RM143.55 juta pada 2022.

Katanya, walaupun jumlah berkenaan tidak mencapai sasaran RM161 juta untuk tahun lalu, namun berlaku peningkatan 6.37 peratus kutipan berbanding tahun sebelumnya. Ini kerana jumlah pembayar zakat menurun sebanyak 3.33 peratus, melibatkan 75,298 orang pada tahun lalu berbanding 77,895 pada 2022.

"2023 itu tidak ada, jadi menyebabkan berkurangan yang saya sebut lebih kurang 2,500 pembayar zakat yang tidak membayar zakat. Yang ini saluran daripada zakat KWSP, maka berkurangan dan tidak mencapai sasaran, walaupun 2,500 tadi daripada zakat KWSP i-Citra, i-Sinar itu, tapi berlaku peningkatan 6.48 peratus, ia tidak berkurangan dari segi kutipan", katanya pada sidang media ketika membentangkan laporan prestasi kutipan dan agihan zakat Pulau Pinang sepanjang tahun 2023, di Ibu Pejabat Zakat Pulau Pinang (ZPP) di Bandar Perda.

Hampir 173.4 juta ringgit zakat telah diagihkan tahun lalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP Datuk Amran Hazali.

Sementara itu, ZPP menetapkan kadar nisab baharu zakat harta tahun ini ditingkatkan kepada RM24,200 berbanding tahun lalu RM21,650.

ROSLINA BINTI DIN