fb fb fb fb fb

TPM tiba di Busan sertai APEC EMM15

APEC EMM15 di Busan merupakan kesinambungan mesyuarat di Lima, Peru pada tahun 2024.

BUSAN, 25 Ogos - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tiba di Busan, Republik Korea bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ke-15 di bawah Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC EMM15), yang berlangsung selama dua hari.

Ketibaan beliau di Pangkalan Udara Gimhae pada pukul 4.45 petang waktu tempatan disambut Duta Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid.

Datuk Seri Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air dijadual mengetengahkan aspirasi Malaysia mencapai sasaran sifar bersih pelepasan gas rumah kaca menjelang 2050, menerusi Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Mesyuarat yang dihoskan Republik Korea selaku Pengerusi APEC 2025 ini menjadi platform utama membincangkan dasar, strategi dan kerjasama tenaga peringkat serantau. APEC EMM15 di Busan merupakan kesinambungan mesyuarat terdahulu di Lima, Peru pada 2024.

Lebih 100 peserta terdiri daripada Menteri Tenaga, pegawai kanan kerajaan serta pemimpin industri dari seluruh ekonomi APEC dijangka hadir.

Di luar mesyuarat, Timbalan Perdana Menteri turut dijadual menyertai dialog meja bulat sempena Menteri Tenaga Bersih ke-16 (CEM16), Menteri Inovasi Misi ke-10 (MI-10) dan Ekspo Industri Iklim Dunia 2025 (WCE).

Beliau juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat dari Republik Korea, Hong Kong China, New Zealand dan Brunei, selain melawat fasiliti tenaga dan utiliti utama seperti Kuasa Hidro dan Nuklear Korea (KHNP), Doosan Enerbiliti serta Loji Rawatan Air Sisa Gangbyeon.

Penyertaan Malaysia dalam APEC EMM15 sekali gus memperkukuh kedudukan negara sebagai rakan strategik serantau dalam kerjasama tenaga, selain mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelaburan hijau yang mampan dan bernilai tinggi, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.

TUN JULIA MOHD TAHIR