KUALA LUMPUR, 25 Ogos - Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) yakin mampu mencapai sasaran 3.5 juta pelancong dengan nilai ekonomi RM8 bilion tahun ini, menerusi pelancaran kempen Langkawi Special Deals.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, kempen selama tiga bulan itu adalah langkah strategik bagi merancakkan sektor pelancongan negara.
"Apabila kita semakin menghampiri Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM26), kerajaan kekal komited untuk memastikan pertumbuhan berterusan sektor pelancongan negara. Pendekatan kita jelas: promosi yang berstrategi, kerjasama yang inovatif, dan penglibatan komuniti yang bermakna. Inisiatif seperti Langkawi Special Deals memainkan peranan penting dalam mencapai matlamat ini," katanya ketika berucap merasmikan majlis pelancaran.
Pelancaran kempen turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara LADA dan Malaysia Aviation Group (MAG) yang melibatkan MHholidays serta platform gaya hidup Journify.
Langkawi Special Deals akan berlangsung dari 1 Oktober hingga 31 Disember depan dengan tawaran eksklusif tambahan yang akan diumumkan secara berperingkat oleh LADA bersama rakan industri.
Sementara itu, Pengurus Pelancongan LADA Dr Azmil Munif Mohd Bukhari berkata, prestasi setakat Julai mencatatkan lebih 1.7 juta pelancong, iaitu melebihi 50 peratus daripada sasaran tahunan.
"Setakat Julai kita telah menerima 1.7 juta pelancong, iaitu lebih 50 peratus daripada sasaran. Tahun lalu kita capai 3.2 juta pelancong dengan pulangan RM7.7 bilion.
"Tahun ini, kita optimis mampu mencecah 3.5 juta pelancong dengan anggaran RM8 bilion hasil daripada pakej istimewa yang ditawarkan," katanya.
Melalui kerjasama itu, pelancong ditawarkan penjimatan hingga RM400 untuk pakej penerbangan dan hotel, manakala tambahan rebat RM30 disediakan bagi tempahan tarikan serta aktiviti pelancongan di Langkawi.
Malaysia Airlines juga menawarkan potongan harga tetap 30 peratus bagi tiket penerbangan ke Langkawi sepanjang kempen berlangsung.
Sehingga kini lebih 20 pemain industri pelancongan termasuk hotel, restoran, pengangkutan dan runcit bebas cukai telah menyertai kempen berkenaan, dengan jumlah penyertaan dijangka bertambah menjelang Oktober.
Tawaran yang meliputi diskaun antara 20 hingga 70 peratus ini dijangka menjana kira-kira RM150 juta aliran tunai untuk pulau itu dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan.
Menurut Dr Azmil, pelancong antarabangsa membentuk kira-kira 58 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong ke Langkawi, manakala selebihnya adalah pelancong domestik.
"Melalui kempen ini, kita mahu menggalakkan rakyat Malaysia, khususnya di Lembah Klang, untuk berbelanja dalam negara dan memilih Langkawi sebagai destinasi utama," katanya lagi.