fb fb fb fb fb

Integriti, kerjasama masyarakat fokus Ketua Polis Negeri Sembilan baharu

Foto BERNAMA

SEREMBAN, 25 Ogos - Polis Negeri Sembilan akan terus menjalin kerjasama erat dengan masyarakat serta semua agensi kerajaan, selaras dengan slogan "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada.”

Ketua Polis Negeri Sembilan yang baharu, Datuk Alzafny Ahmad berkata, perkara tersebut merupakan antara fokus utama kepimpinannya selepas secara rasmi mengambil alih jawatan daripada Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof.

Beliau juga berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Sembilan akan terus diperkasa dengan penggunaan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI), selain menitikberatkan aspek integriti, profesionalisme serta kebajikan pegawai dan anggota agar mutu perkhidmatan sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Perkara pertama yang menjadi tumpuan saya adalah untuk bersama-sama semua agensi yang ada di Negeri Sembilan dan bersama-sama dengan masyarakat kerana slogan PDRM itu sendiri, iaitu 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' mestilah berada di atas. 

"Kita kena melihat permasalahan yang berlaku, kita perlu mendengar dan membantu dan Insya-Allah kita akan menyelesaikan masalah-masalah tersebut. Itu adalah fokus saya. Selain itu, saya perlu juga melihat kepada visi dan misi Ketua Polis Negara, iaitu PDRM harus bergerak setara dengan kecanggihan teknologi yang ada. 

"Jadi, kita kena melihat dari segi memantapkan gerak kerja pasukan berlandaskan kepada teknologi dan juga AI," katanya dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negeri Sembilan yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan.
 
Dalam ucapannya, Alzafny turut menyampaikan penghargaan kepada kepimpinan terdahulu serta bertekad untuk meneruskan kecemerlangan PDRM di Negeri Sembilan.
  
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu sebelum ini menjawat jawatan Komandan Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur dan berpengalaman luas dalam Jabatan Siasatan Jenayah serta pernah mengetuai Polis Daerah Klang.
 
Beliau yang baharu menyambut ulang tahun ke-49 yakin dengan sokongan warga PDRM Negeri Sembilan, amanah dan tanggungjawab yang digalasnya mampu dilaksanakan dengan penuh dedikasi demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

MASNIZA AWANG KECHIK